BAB 2
Setelah menunaikan solat Maghrib, Lateefa tertidur di atas sejadah bersama telekungnya dek keletihan menempuh perjalanan panjang pulang dari asrama.
Ting!
Bunyi notifikasi dari telefon bimbit mengejutkan Lateefa dari tidurnya. Matanya dipisat sekejap sebelum mencapai telefon bimbit di hujung kaki.
Arsyad : Assalamualaikum.
Lateefa mengukir senyum nipis. Mesej yang sama, dari orang yang sama. Setiap kali minggu pulang ke kampung, pasti mesej ini akan muncul di notifikasinya. Tidak pernah terlepas, walau satu kali. Entah sejak bila ia bermula dan menjadi rutin lelaki itu mencarinya jika pulang, dia juga tidak menyedarinya.
Duduk dibetulkan sambil menanggalkan telekung di tubuh.
Lateefa : Waalaikumussalam.
Arsyad : sibuk ke?
Tidak menunggu lama, Arsyad membalas.
Lateefa : taklah. kenapa?
Arsyad : oh.. weh Tifa, nak tahu tak cerita...
Dan begitulah bagaimana mereka menjadi lebih dekat tanpa mereka sedari. Lateefa, seorang gadis yang tidak gemar mencampuri urusan rakan lelakinya di sekolah malah pelajar lelaki juga sering menghindari dari berurusan dengannya, kerana sifatnya yang tegas dan tidak berlebihan seperti beberapa rakannya yang lain. Juga Arsyad, seorang pemuda yang tidak bercakap dengan mana mana gadis di sekolah, sehingga membuatkan ramai junior berminat dengannya kerana perwatakan Arsyad yang lagak tenang itu.
Tanpa mereka sedari juga, Lateefa dan Arsyad menaruh perasaan yang sama meski mereka menafikan dengan alasan hanya berteman. Benarlah kata orang, lelaki dan perempuan tidak boleh berteman, pasti salah seorangnya akan terjatuh hati.
Lateefa sedar perasaan yang mula timbul, tetapi dia sedaya upaya mengawal dirinya agar tidak melebihi batasnya bersama Arsyad. Kerana itulah dia tidak langsung menegur Arsyad di sekolah sehingga pernah ditegur rakannya, Aiza.
--
Waktu rehat, Aiza menarik tangan Lateefa ke belakang blok surau.
“Kau dengan Arsyad ni pelik betul tau!” bebel Aiza.
Lateefa mengerutkan dahi. “Pelik apa?”
“Kau tak nampak ke dia selalu pandang kau? Tadi masa kau lalu dekat kantin, dia macam tak berkelip tengok kau. Orang lain semua perasan.”
Lateefa menghela nafas. “Biarlah dia. Aku datang sini belajar, bukan cari perhatian orang.”
Aiza mencebik, “Tapi hati kau tak pernah terusik?”
Lateefa diam, tak menjawab.
--
Lateefa hanya memberikan senyuman dan jawapan "okay" setiap kali diajukan soalan sama. Itu dirinya. Malas mencampuri urusan yang tidak penting. Mereka bermesej selama ini pun, kalau bukan Arsyad yang mencarinya terlebih dahulu, pasti mereka tidak akan bersembang juga.
Dia sering diusik rakan rakan sekelas kerana menyangka Arsyad menyukai Lateefa, tetapi Lateefa masih dengan dirinya, mengendahkan setiap usikan sehingga mereka sudah tidak menyebutnya lagi meskipun mereka yakin akan kenyataan itu. Mana tidaknya, Arsyad itu sering mencuri pandang Lateefa. Hanya Lateefa yang buat buat tak nampak. Katanya, pergi sekolah belajar dahulu. Yang lain tak penting.
Comments
Post a Comment